Jumaat, 30 Mei 2014

IKTIBAR PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ

MENGAMBIL IKTIBAR PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ DARI SUDUT AKIDAH, SYARIAH DAN AKHLAK

Rejab bermaksud mulia. Oleh itu bulan Rejab adalah bulan mulia. Dinamakan Rejab kerana dahulu bangsa Arab sangat memuliakan bulan ini. Kemuliaan Rejab terletak pada puasa sunat Rejab, solat sunat Rejab, istighfar Rejab dan peristiwa Israk dan Mikraj. Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya : “Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku”.

Dalam hadith lain, Nabi bersabda yang maksudnya : “hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab, nescaya Allah akan memuliakan kamu dengan seribu kemuliaan pada hari akhirat kelak.”
Peristiwa Israk disebut melalui firman Allah S.W.T yang bermaksud : “Maha Suci Allah yang memperjalankan hambaNya (Muhammad S.A.W) pada malam hari dari Masjid al-Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” ( Surah al-Isra’ : 1).

Manakala kisah Mikraj disebut dalam ayat yang bermaksud : “dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril (dalam rupa aslinya) pada waktu yang lain, iaitu di Sidratil Muntaha (tempat yang paling tinggi di atas langit yang ke tujuh), di tempatnya ada Jannatul Ma’wa (syurga sebagai tempat tinggal). Muhammad melihat Jibril ketika Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya, penglihatan Muhammad tidak berpaling dari yang disaksikannya dan tidak pula melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda kekuasaan Tuhannya yang paling besar”. (Surah al-Najm : 13 – 18)

Israk ialah perjalanan malam Nabi Muhammad S.A.W dari Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin. Mikraj pula ialah keadaan Nabi Muhammad S.A.W dibawa terus naik ke langit ke tujuh dan Sidratul Muntaha.
Peristiwa ini berlaku pada tanggal 27 Rejab sebagai memberikan kekuatan batin kepada Nabi Muhammad S.A.W dalam memperjuangkan dan menegakkan agama Allah di bumi Makkah. Ia berlaku pada saat Nabi S.A.W menghadapi ujian berat dan tingkat perjuangan yang sampai ke tahap kritikal dengan gangguan, penghinaan dan penganiayaan.

Keadaan lebih tertekan selepas isteri Baginda, Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Thalib meninggal dunia. Justeru, hilanglah salah satu kekuatan dan benteng tempat Rasulullah S.A.W menyandarkan harapan dalam perjuangannya. Kehilangan kedua-dua tokoh yang juga sayap perjuangan Baginda S.A.W amat memilukan hatinya.
Lantaran itulah sebagai langkah penghilang kedukaan ini, Allah ingin meninggikan martabat Nabi S.A.W untuk bertemu-Nyasecara berdepan supaya kekuatan zahir dan batin akan diperoleh sepenuhnya oleh Nabi dalam meneruskan usaha dakwah Baginda.

Tidak perlu diceritakan satu persatu peristiwa yang dialami Baginda S.A.W sepanjang berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, tetapi lebih menjurus kepada beberapa persoalan dan jawapannya yang tersurat dan tersirat di sebalik mukjizat agung itu.

Dalam peristiwa itu ada beberapa perkara penting yang dijadikan pengajaran meliputi aspek akidah, syariah dan akhlak. Memperingati Israk dan Mikraj akan mengembalikan ingatan kaum muslimin terhadap Nabi dan para sahabat pada peringkat awal dakwah Islamiah di Makkah.

Pertemuan Nabi Muhamad S.A.W dengan ramai para Rasul seperti Nabi Adam, Nabi Yahya, Nabi Isa, Nabi Idris, Nabi Harun, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim, menggambarkan betapa kuatnya susur galur generasi atau salasilah anbia, bermula dari nabi pertama hingga ke saat pengutusan Nabi Muhammad S.A.W sebagai pelengkap generasi anbia. Sebagai pendakwah, tugas Rasulullah S.A.W ialah menyampaikan wahyu daripada Allah, namun tiada upaya Nabi memaksa masyarakat Arab menerima seruannya kerana hanya Allah yang lebih berkuasa membuka pintu hati manusia untuk menerima apa yang Nabi serukan.

Pada peringkat awal dakwah Islamiah, Nabi S.A.W menerima pelbagai kesusahan dan kesulitan. Mujur adanya Saidatina Khadijah dan Abu Thalib mempertahankan baginda. Kewafatan mereka sedikit sebanyak mengusarkan Nabi. Bagi orang yang biasa mungkin akan ada yang akan berputus asa kehilangan orang yang dikasihi.

Bagi Nabi Muhammad S.A.W, Allah ingin menunjukkan kepada Baginda bahawa hanya kepada Allah tempat bergantung harap. Sehubungan itu, Baginda diangkat ke Hardat-Nya untuk menunjukkan di sebalik tentangan dan kehilangan dua orang penolong serta pembantunya di bumi, Allah masih tetap wujud dan akan tetap membantu Nabi menghadapi kesulitan mendatang.

Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik, manakala malaikat akan memberi hormat kepada Nabi S.A.W selepas berjuang bersusah payah menghadapi rintangan dan akhirnya pasti Baginda akan mendapat kekuatan baru meneruskan misi dakwah
Firman Allah S.W.T berhubung peristiwa Israk dan Mikraj dalam al-Quran dimulakan dengan perkataan Subhanallah yang bermaksud Maha Suci Allah. Kata-kata ini memberi pengertian bahawa kekuatan dan kesucian itu adalah milik mutlak Allah melampaui segala kekuatan makhluk di dunia.

Konsep Subhanallah menunjukkan bahawa Allah itu Maha Suci Zat, Sifat dan Perbuatan-Nya. Apabila disebut Subhanallah dalam ayat itu, pasti diyakini juga peristiwa itu Allah melakukannya. Lantaran, timbullah kesan di dalam hati manusia bahawa peristiwa itu benar-benar ajaib dan luar biasa dari jangkauan akal dan kemampuan manusia.
Ini diperkuatkan lagi dengan sambungan ayat iaitu ala-lazi asroo bi abdihi (yang mengisrakkan – memperjalankan – hambaNya pada malam hari) yang menjelaskan bahawa Rasulullah S.A.W itu diisrakkan (diperjalankan ) dan bukannya berjalan sendiri.

Lafaz hambaNya (Muhammad S.A.W ) menerangkan bahawa sifat hamba itu adalah di bawah kekuasaan dan genggaman tuannya (Allah). Jelas di sini, peristiwa Israk dan Mikraj itu dilakukan oleh Allah dan bukan perbuatan Rasulullah S.A.W secara bersendirian. Kenyataan ini menafikan dakwaan bahawa peristiwa itu adalah perjalanan mengikut kehendak dari diri Rasulullah itu sendiri.

Apakah hikmah di sebalik pemilihan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa sebagai tempat penting peristiwa Israk dan Mikraj?

Masjid adalah rumah ibadat bagi orang Islam. Masjid al-Haram adalah rumah peribadatan pertama dibangunkan untuk manusia, manakala Masjid al-Aqsa adalah suatu tempat suci di bumi Allah yang menjadi pusat kegiatan Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi-nabi yang lain.

Israk dan Mikraj adalah peristiwa yang amat hebat dan besar, lantaran itulah ia termasuk dalam salah satu mukjizat agung Baginda S.A.W dan dengan memperingatinya menyuburkan kembali iman setiap Muslim.
Ketika peristiwa Israk dan Mikraj, dua masjid ini saja yang tegak di atas muka bumi Allah, maka selayaknyalah binaan ini diperbesarkan sebagai lambang ketinggian syiar Islam itu sendiri.

Ini membenarkan lagi keagungan kedua-dua masjid itu di sisi Allah. Walaupun ketika itu Kaabah masih tertutup oleh lingkungan berhala -berhala dan Baitulmaqdis lebih dikaitkan dengan agama Samawi selain Islam, tetapi Islam tetap menaik taraf kedua-dua masjid itu kemudiannya sebagai tempat suci umat Islam.
Mengapakah kewajipan lain diperintahkan melalui wahyu, sedangkan solat difardhukan secara langsung oleh Allah tanpa perantaraan wahyu?

Ada banyak kenyataan sama ada melalui al-Quran mahupun al-Hadith menerangkan kepentingan mengerjakan solat. Solat adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya dia telah mendirikan agama dan sesipa yang meninggalkannya, maka dia meruntuhkan agama.
Lantaran kepentingannya juga, ia adalah perkara pertama yang akan dihitung dari neraca amalan manusia pada hari akhirat kelak. Mengerjakan solat atau meninggalkannya disebut sebagai batasan samada seseorang itu Islam atau sebaliknya.

Ini menunjukkan bahawa solat adalah ibadat terpenting dalam Islam, lantaran itulah kewajipan mengenai pensyariatannya diberikan dalam keadaan yang istimewa iaitu diturunkan secara langsung oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.
Ibaratnya begini, apabila seseorang pemimpin, penguasa atau ketua memerintahkan dan mengarahkan sesuatu kepada orang bawahannya secara bertulis, maka boleh diandaikan bahawa apa yang diperintahkannya itu adalah masalah yang biasa. Tetapi jika perkara yang diarahkan itu suatu yang amat penting atau istimewa, maka orang bawahan itu akan dipanggil secara mengadap untuk menyatakan perkara itu. Seorang ketua tidak akan memanggil pekerjanya itu kecuali jika perkara yang ingin disampaikan itu benar-benar penting.

Rasionalnya lagi, Mikraj adalah penghargaan tinggi daripada Allah kepada Rasulullah, lantaran mulianya kedudukan Nabi di sisi Allah sedang Baginda diutus adalah sebagai rahmat bagi seluruh alam semesta. Allah mahu memberinya sesuatu yang kelak dapat diamalkan oleh umatnya dalam usaha mendekatkan diri kepadaNya pula.
Sesungguhnya Israk dan Mikraj ini adalah peristiwa yang amat hebat dan besar. Lantaran itulah ia termasuk dalam salah satu mukjizat agung Baginda S.A.W. Semoga memperingatinya akan menyuburkan kembali iman yang sering turun naik dan menjadi suatu ingatan yang berpanjangan dan berkekalan selama hayat dikandung badan dan bukannya ingatan yang bermusim yang hanya dikenang dalam bulan Rejab.

 Artikel ini adalah hasil tulisan Ustaz Mohd. Kamel bin Mat Salleh, Penolong Pengarah di Pusat Pemantapan Akidah (JAKIM), Jelebu Negeri Sembilan dan pernah tersiar dalam Akhbar Berita Harian pada tahun 2000.


Sumber : http://ppajakim.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan